Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
MENTIRI, Sabtu, 14 Mac. - Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan kerajaan, sektor swasta, keluarga serta individu di Negara Brunei Darussalam (NBD) giat meningkatkan amalan dengan menganjurkan pelbagai acara keagamaan bagi meraih ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Antara aktiviti yang sering menyemarakkan bulan Ramadan ialah bertadarus Al-Quran. Sehubungan itu, Majlis Khatam Al-Quran bagi Pegawai dan Kakitangan Lelaki Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi diadakan petang tadi di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, yang seterusnya memulakan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah.
Turut hadir, Timbalan Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Pemangku Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha.
Juga hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Misle bin Haji Abdul Karim serta Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.
Majlis diteruskan dengan penyampaian bantuan kepada asnaf fakir miskin yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei.
Turut diserikan, Tadabbur Al-Quran disampaikan oleh Pegawai Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani.
Kemudian diikuti dengan bacaan Takhtim dan Tahlil dipimpin oleh pegawai dari Pejabat Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara bersama para pegawai serta Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri. Manakala bacaan Doa Khatam dan Doa Tahlil dipimpin oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri, Awang Haji Samsul bin Haji Abdul Latif.
Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban beramai-ramai dipimpin oleh pegawai dari Pejabat Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara bersama para pegawai serta ahli jawatankuasa masjid berkenaan dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri, Pengiran Mohammad Sallehin bin Pengiran Tejuddin.
Pada majlis tersebut, sejumlah BND32,965.45 wang zakat telah diagihkan kepada 120 penerima, terdiri daripada 100 orang asnaf fakir miskin dan 20 orang asnaf mualaf dari Daerah Brunei dan Muara.
Sejumlah BND2,484,450.03 telah diperuntukkan oleh Majlis Ugama Islam Brunei bagi agihan zakat wang tunai kepada asnaf fakir miskin dan mualaf menjelang Hari Raya Aidilfitri Tahun 1447H/2026M.
Peruntukan tersebut adalah hasil daripada kutipan Zakat Fitrah dan Zakat Harta sepanjang tahun 1447H/2025M yang berjumlah keseluruhan BND21,406,174.99 Daripada jumlah itu, BND1,235,387.43 akan diagihkan kepada 14,481 orang asnaf fakir miskin, terdiri daripada 2,597 ketua keluarga dan 11,884 orang tanggungan.
Manakala BND1,249,062.60 pula akan diagihkan kepada 2,471 orang asnaf mualaf, terdiri daripada 2,148 ketua keluarga dan 323 orang tanggungan.
Agihan wang zakat ini akan diagihkan sebahagiannya secara tunai dan sebahagiannya dikreditkan terus ke akaun bank penerima sebagai usaha meringankan perbelanjaan mereka.
KHEU melalui Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal menyeru seluruh umat Islam di Negara Brunei Darussalam agar menunaikan kewajipan membayar Zakat Fitrah kepada amil-amil yang dilantik sebelum berakhirnya tempoh pembayaran Zakat Fitrah.
Bagi memudahkan orang ramai untuk menunaikan kewajipan berzakat, pembayaran Zakat Fitrah juga boleh dibuat secara dalam talian (online) melalui platform perbankan di Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), serta melalui aplikasi syarikat telekomunikasi Datastream Digital (DST), Imagine Sdn. Bhd. dan Progresif di sepanjang bulan Ramadan 1447H.